Monday 20 April 2009

Ke Pesta Buku Antarabangsa 2009

Sabtu lalu aku sekeluarga ke Kuala Lumpur untuk mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa. Anak perempuan ku yang mencadangkan….. Beberapa tahun lalu sewaktu kami mula-mula membawa anak-anak ke Pesta Buku, mereka macam tidak berapa minat.... tak tahu apa yang hendak dicari.

Kami bertolak awal pagi kira-kira jam 5.00 pagi dan berhenti di Hentian Rehat Bukit Gantang untuk menunaikan solat suboh. Kemudian kami keluar dari lebuh raya melalui ‘exit’ Simpang Pulai untuk sarapan pagi di Warung Pak Usop. Warung ini merupakan warung ‘favourite’ kami untuk sarapan pagi kerana hidangan yang pelbagai yang disediakan; nasi lemak ayam goreng ada, mee atau bee hun goreng ada, dan yang lebih penting ada roti canai. Pada pagi hari Ahad, mereka menyediakan soto, lontong dan mee rebus…..

Kami sampai di PWTC kira-kira jam 10.30 pagi. Waktu itu pengunjung sudah mula bersesak-sesak masuk. Di pintu masuk, terpampang tema pesta buku kali ini iaitu "Buku Lakaran Masa Depan"

Anak-anak ku mencari buku-buku rujukan dan juga novel kegemaran mereka. Mereka membeli Buku Peta Minda, Buku Latihan untuk SPM dan UPSR. Mereka juga mengunjungi Booth PTS dan Hijjaz Publishing dan membeli beberapa buah buku remaja.

Semasa sibuk membelek buku, berjumpa rakan anakku. Mereka juga datang sekeluarga.

Aku mencari-cari hasil karya Anne Mazer, penulis buku remaja yang terkenal dengan buku bersirinya ’The Amazing of Abby Hayes” tetapi tiada. Nampaknya terpaksa dibeli melalui internet.

Selain dari jualan buku, terdapat juga program bersama penulis. Anak-anak perempuan ku mengunjungi Dewan Johor untuk bersama penulis Ain Maisarah. Aku pula ke ruang legar menyaksikan program buku terbaru keluaran Berita Publishing, bersama Dato Kadir Jasin.

Kami keluar dari PWTC kira-kira jam 2.00 petang .... Anak-anak merasa tidak puas kerana tidak dapat nak melawat ke semua booth dan menonton program bersama penulis. Tetapi kaki sudah lenguh dan perut juga sudah lapar.

Pengunjung yang ramai dan sistem jalankaki yang tidak teratur menyukarkan untuk bergerak dari satu booth ke booth. Di masa hadapan perlu ada sistem yang lebih teratur bagi mengelakkan kesesakan.

Di tahun akan datang, kami bercadang untuk tinggal lebih lama di Kuala Lumpur agar masa yang lebih lama boleh dihabiskan di Pameran Buku.

No comments:

Post a Comment