Saturday 2 May 2009

Denggi Oh Denggi...


Petang Ahad lalu anakku yang bongsu tiba-tiba demam. Pada mulanya tidak begitu panas. Aku hanya memberikannya paracetamol, Namun pada petang Isnin itu kelihatan ruam-ruam merah pada badannya dan demamnya tidak juga surut. Aku bergegas membawanya ke klinik panel ku. Doktor menjelaskan kerisauannya melihatkan ruam merah yang ada pada badannya dan bintik-bintik merah pada lelangitnya. Tanda-tanda ini macam denggi. Doktor juga menjelaskan perbezaan denggi dengan campak dan ruam biasa akibat alergi. Beliau menasihatkan agar anakku segera dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Kira-kira 2 bulan yang lalu anak bongsu itu juga pernah dimasukkan ke hospital kerana demam denggi. Pada masa itu aku membawanya ke hospital swasta, dan terus dimasukkan ke wad dan dimasukkan air. Ujian pertama tiada menunjukkan demam dengi. Tetapi ujian seterusnya barulah menunjukkan dia mengidap dengi. Palet darahnya tidaklah rendah sangat. Dan beliau berada di sana kira-kira 8 hari lamanya. Yang tidak seronoknya ialah di hospital swasta itu pun banyak nyamuk. Di dalam wad pun dia bercampur dengan pesakit lain dan tiada kelambu yang diberikan….

Kali ni aku nak membawa anakku ke hospital awam pula. Aku terus ke wad kecemasan kerana pada masa itu jam menunjukkan pukul 8.35 malam. Aku diminta untuk pergi ke makmal untuk ujian darah. Sampai di ’makmal’ atau sebenarnya tempat ujian darah, kelihatan ramai juga pesakit yang sedang menunggu untuk mendapatkan rawatan. Aku hanya perlu mengemukakan kad pengenalan ku dan menunjukkan surat yang dibawa dari klinik tadi. Dan kami menunggu hampir 30 minit sebelum mendapatkan rawatan.

Di bilik rawatan doktor memeriksa keadaan anakku dan terus mengarahkan agar darah diambil. Kami menunggu 30 minit lagi untuk mengetahui keputusan. Di luar bilik rawatan, anakku sudah terlena tidur sebelum doktor tadi memanggil kami kembali. Alhamdulillah, ujian darah tidak menunjukkan denggi. Apabila ditanya tentang ruam yang ada, beliau menerangkan ia mungkin disebabkan alahan. Apabila aku jelaskan bahawa anakku tidak makan apa-apa yang dia mungkin alahan, apatah lagi kerana dia demam... doktor itu terus meminta aku membawa anakku ke hospital semula jika keadaannya tidak berubah dalam 2 atau 3 hari lagi. Anakku diberi ubat paracetamol, ubat allergi, anti biotik dan ubat batuk.

Sebenarnya aku masih tidak berpuas hati dengan penerangan doktor tadi. Sampai di rumah, setelah memberikan anakku ubat, aku mengelapnya dengan air. Suhu badannya begitu panas sepanjang malam. Aku juga tidak tidur kerana hendak memastikan dia minum ubat setiap 6 jam atau 8 jam sekali, mengelapkannya dengan air dan memberikannya minum. Jika dia terlalu lemah untuk bangun, aku suapkan air ke mulutnya melalui picagari. Dia juga mula mengigau...

Esoknya aku mengambil cuti untuk memastikan anakku makan ubat menurut masa, meminum air yang banyak dan mengelapnya dengan air agar badannya tidak terlalu panas. Aku juga menggunakan masa yang ada untuk membaca ayat al-Qur’an di samping anankku itu. Alhamdulillah pada hari yang ketiga, demamnya mula surat dan ruam di badannya juga mula hilang....dan hari yang ke lima dia sudah kembali ke sekolah.

Monday 20 April 2009

Ke Pesta Buku Antarabangsa 2009

Sabtu lalu aku sekeluarga ke Kuala Lumpur untuk mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa. Anak perempuan ku yang mencadangkan….. Beberapa tahun lalu sewaktu kami mula-mula membawa anak-anak ke Pesta Buku, mereka macam tidak berapa minat.... tak tahu apa yang hendak dicari.

Kami bertolak awal pagi kira-kira jam 5.00 pagi dan berhenti di Hentian Rehat Bukit Gantang untuk menunaikan solat suboh. Kemudian kami keluar dari lebuh raya melalui ‘exit’ Simpang Pulai untuk sarapan pagi di Warung Pak Usop. Warung ini merupakan warung ‘favourite’ kami untuk sarapan pagi kerana hidangan yang pelbagai yang disediakan; nasi lemak ayam goreng ada, mee atau bee hun goreng ada, dan yang lebih penting ada roti canai. Pada pagi hari Ahad, mereka menyediakan soto, lontong dan mee rebus…..

Kami sampai di PWTC kira-kira jam 10.30 pagi. Waktu itu pengunjung sudah mula bersesak-sesak masuk. Di pintu masuk, terpampang tema pesta buku kali ini iaitu "Buku Lakaran Masa Depan"

Anak-anak ku mencari buku-buku rujukan dan juga novel kegemaran mereka. Mereka membeli Buku Peta Minda, Buku Latihan untuk SPM dan UPSR. Mereka juga mengunjungi Booth PTS dan Hijjaz Publishing dan membeli beberapa buah buku remaja.

Semasa sibuk membelek buku, berjumpa rakan anakku. Mereka juga datang sekeluarga.

Aku mencari-cari hasil karya Anne Mazer, penulis buku remaja yang terkenal dengan buku bersirinya ’The Amazing of Abby Hayes” tetapi tiada. Nampaknya terpaksa dibeli melalui internet.

Selain dari jualan buku, terdapat juga program bersama penulis. Anak-anak perempuan ku mengunjungi Dewan Johor untuk bersama penulis Ain Maisarah. Aku pula ke ruang legar menyaksikan program buku terbaru keluaran Berita Publishing, bersama Dato Kadir Jasin.

Kami keluar dari PWTC kira-kira jam 2.00 petang .... Anak-anak merasa tidak puas kerana tidak dapat nak melawat ke semua booth dan menonton program bersama penulis. Tetapi kaki sudah lenguh dan perut juga sudah lapar.

Pengunjung yang ramai dan sistem jalankaki yang tidak teratur menyukarkan untuk bergerak dari satu booth ke booth. Di masa hadapan perlu ada sistem yang lebih teratur bagi mengelakkan kesesakan.

Di tahun akan datang, kami bercadang untuk tinggal lebih lama di Kuala Lumpur agar masa yang lebih lama boleh dihabiskan di Pameran Buku.

Thursday 16 April 2009

Dasar PPSMI - untuk masa depan anak bangsa?

Rasa terpanggil untuk beri pandangan tentang Dasar Pengajaran dan Pembelajaran sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (Dasar PPSMI). Hingga kini Menteri yang bertanggungjawab masih belum membuat keputusan tentang pelaksanaan dasar tersebut, disebalik banyak pandangan, kajian serta memorandum yang telah dikemukakan tentang dasar ini.

Apakah matlamat sebenar dasar ini? Adakah untuk memudahkan pencapaian dalam bidang Sains dan Matematik yang kebanyakannya ditulis dalam Bahasa Inggeris, seperti yang diungkapkan oleh Mukhriz Mahathir, anak kepada pencadang dan pelaksana dasar ini?

Dari segi pelaksanaan Dasar PPSMI ini, kita lihat Bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa perantara bagi subjek Sains dan Matematik sejak dari sekolah rendah lagi, menggantikan bahasa ibunda. Kandungan silibus kedua-dua subjek tersebut dimudahkan, bagi mengambilkira keupayaan anak-anak(dan juga guru?) menggarapnya dalam bahasa bukan ibunda (Inggeris).

Ada yang tidak kena di sini....

Jika tujuannya adalah untuk memudahkan pencapaian dalam bidang Sains dan Matematik kerana kebanyakan rujukan ditulis dalam Bahasa Inggeris....nampaknya kita bergerak menyongsang fakta.

Kajian-kajian di seluruh dunia semuanya mengarah kepada keperluan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar kepada subjek-subjek penting di peringkat awal persekolahan. Telah dikenaplasti punca negara dunia ketiga menghadapi masalah buta huruf dan kemiskinan yang berpanjangan ialah kerana bahasa yang digunakan di sekolah berbeza dengan bahasa pertuturan di rumah. Justeru itu bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar di semua peringkat pendidikan, khususnya pendidikan awal, dijadikan sebahagian dari resolusi Bangsa-bangsa Bersatu - Pendidikan untuk Semua.

Mungkin ada yang kata Malaysia tidak sama dengan negara dunia ketiga yang lain kerana setelah Dasar PPSMI dilaksanakan, keputusan peperiksaan bagi kedua-dua subjek tersebut menunjukkan keputusan yang semakin baik. Benarkah begitu? Cuba kita fikirkan, sesuaikah keputusan peperiksaan dijadikan kayu ukur kepada keberkesanan dasar?

Mari kita berbalik kepada persoalan asas, untuk apa Sains dan Matematik dipelajari? Adakah semata-mata untuk lulus peperiksaan?

Atau, yang lebih utama apa shaja ilmu yang anak-anak ini pelajari di sekolah adalah untuk diterapkan dalam kehidupan seharian....untuk diamalkan agar berguna di masa hadapan. Ya, Sains adalah untuk manfaat kehidupan....

Justeru itu, bagi anak-anak di desa, Sains yang mereka pelajari di dalam bilik darjah, sepatutnya dapat mencetuskan idea baru atau menambah-baik kaedah sedia ada, untuk kegunaan hidup mereka di desa. Anak-anak ini sepatutnya boleh memikir dan bermimpi tentang Sains. Laksana Newton yang mencipta teori graviti...asalnya gara-gara dari memerhati buah epal yang jatuh dari pokok.

Siapakah yang boleh diharapkan jika bukan anak-anak desa itu sendiri, untuk memikir cara terbaik me’reka’apa sahaja kenderaan yang dapat membantu meredah jalan kampong atau hutan belantara untuk ke sekolah...... memilih pokok yang mengeluarkan cahaya di waktu malam (pokok keladi?) agar dapat menerangi jalan-jalan kampong tanpa terlalu bergantung kepada bekalan letrik yang mungkin hanya sampai ke daerah pendalaman mereka apabila ada pilihan raya kecil, atau mencari kaedah terbaik mengelakkan kesan banjir yang berlaku setiap kali hujan lebat turun..... hatta untuk me’reka’ kaedah mengambil buah manggis apabila tiba musimnya tanpa merosakkan buah tersebut ..... dan seribu satu macam lagi idea baru tapi mudah, yang tercetus hasil dari cabaran kehidupan di desa. Bolehkah diharapkan saintis nun di England atau Amerika sana, membuat penyelidikan untuk mengatasi masalah yang menyangkut hidup sehari-hari di desa Malaysia, yang kemudiannya kita rujuk dan gunapakai?

Oleh itu anak-anak bangsa perlu menguasai matapelajaran Sains dan Matematik. Penguasaan yang baik selanjutnya akan mencetuskan minat, merangsang untuk berfikir tentang Sains dan mencetuskan idea baru. Jika digabungkan dengan pegangan yang kukuh terhadap agama, rekacipta yang dihasilkan tentu manfaatnya melangkau dunia. Akan berlakukah perkara ini, jika mata pelajaran tersebut diajar dalam bahasa yang tidak difahami dan tidak digunakan dalam pertuturan seharian?

Saya nak beri contoh Sweden, sebuah negara yang sedikit penduduk tetapi menghasilkan pelbagai reka cipta baru yang luar biasa jumlahnya. Mereka menggunakan bahasa tempatan sebagai bahasa pengantara di sekolah-sekolah. Rakyat Sweden juga boleh menguasai 2 atau 3 lagi bahasa asing. Jangan terperanjat jika Bahasa Terengganu pun ada di papan iklan mereka.

Antara rekacipta rakyat Sweden sama ada idea baru atau menambahbaik yang sedia ada ialah zip, bola bering, mancis keselamatan, dinamit, pisau pelbagai guna, spanar dan banyak lagi. Rekacipta dari Sweden ini unik kerana ia merupakan benda-benda kegunaan harian. Jenama IKEA, Tetra Pak, Electrolux, Ericsson, Swiss Knife dan lain-lain kini dipasarkan ke seluruh dunia. Dari negara ini jugalah anugerah nobel diberikan kepada para saintis yang memberi manfaat kepada manusia sejagat.

Bagaimana negara ini dapat melahirkan manusia yang kreatif? Jawabannya ada pada sistem pendidikan yang menggalakkan kreativiti dan innovasi. Selain dari matapelajaran sains, matapelajaran sastera dan seni diberi penekanan yang sama penting. Hasil seni dimasyarakatkan, tidak disimpan dalam muzuem. Pendapatan cukai, sebahagian besarnya disalurkan untuk pendidikan. Ibu-bapa diberi kemudahan menjaga anak yang baru lahir hingga berusia 2 tahun. Sekolah diwajibkan. Sekolah awam dan swasta memperoleh bantuan yang sama daripada kerajaan. Penyelidikan dan pembangunan adalah suatu yang lumrah dalam organisasi awam atau swasta. Jika kita ke IKEA iaitu gedung menjual peralatan rumah, pelbagai rekabentuk yang menarik dan mudah, hasil tangan rakyat Sweden, dijual di situ.

Nah, adakah kejayaan Sweden dengan rekaciptanya kerana Bahasa Inggeris?

Tuesday 14 April 2009

Aku Belajar Berblog


Hujung minggu yang lalu aku hadiri kelas ‘belajar berblog’. Aku merupakan murid yang paling tua dalam kelas itu. Anakandaku yang keempat ku bawa bersama. Majlis dimulakan dengan ucapan ringkas YDP Pulau Pinang. Dia peringatkan kami tentang matlamat berblog..... Berblog pun boleh menambah amal. Lalu diungkapkan peranan burung pipit yang membawa air melalui paruhnya untuk memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim as.

Cikgu Zah menyambung tentang fungsi blog yang pelbagai. Blog boleh menjadi medan perkongsian, merapatkan tali persaudaraan, teman di kala kesunyian atau tempat meluahkan perasaan, hilangkan stress....dan lain-lain lagi.

Gambar ihsan : edweb.tusd.k12.az.us/.../issue23_Wurr1.html


Bila kami semua diminta mula menaip, aku termenung panjang…… Apa gerangan yang hendak ditulis???

Cikgu Zah kata apa yang ditulis mestilah berkait dengan tema blog. Cikgu Budiman pula menambah bahasa yang digunakan perlu sesuai. Jika bahasa kasar atau rojak, mungkin boleh hilangkan minat pembaca.

Nampaknya tidak bolehlah tulis semborono ya?!. Inilah yang susahnya. Bila idea tiada bagai nak pecah kepala fikir .....

Kemudian datang pula seorang lagi cikgu err…tidak ku ingat namanya. Mereka semua panggil dia Mualim. Mualim pun mualim lah…. Mualim kata boleh lihat web atau blog lain untuk cari idea.

Aku mula meneroka laman web atau blog yang ada. Terfikir pula takkan nak ‘cut and paste’ sahaja? Ini meniru….. plagiarism namanya? Terdengar suara ku sendiri di hadapan pelajarku “ plagiarism tu kesalahan besar dalam dunia akademik”. Berpeluh-peluh aku dibuatnya.
Nak tulis apa da...

Ku toleh kiri dan kanan. Duduk di sebelah ku ialah anakandaku. Wow! Laju sungguh dia menaip. Sekejap-kejap dia meneroka ke laman web lain. Dicarinya sajak dan kata-kata hikmah yang diinginkan.

Di sebelah kanan ku pula sahabatku Miah. Umurnya 10 tahun lebih muda dari diriku. Nampaknya dia macam tiada idea juga. Tapi dia siapkan dulu rangka blognya. Dicarinya widget yang sesuai. Fuyoo.... macam-macam dan meriah!!

Aku????

Lepas puas memerah otak, dan beberapa kali memastikan kipas di belakang ku tu mengenaiku.....akhirnya lahirlah blog SEHIJAU DAUN.....itupun dah hampir jam 1.00 tengahari. Kelas dah tamat dan semua orang berkemas untuk balik....


Monday 13 April 2009

Pengajaran dari Daun Hijau



Apa yang kita boleh belajar dari resam daun hijau? Ya kehidupan ini adalah satu anugerah. Seperti tumbuhan yang mengeluarkan oksigen yang murah dan asas kepada rantaian makanan untuk makhluk, maka hidup kita juga perlulah bermanfaat untuk semua.

Namun, untuk memenuhi tuntutan ini kita perlu ada bekalan. Seperti daun hijau yang memerlukan cahaya matahari (tenaga), air dan udara untuk proses fotosentisis, kita juga perlu ada ilmu dan kesungguhan untuk menghasilkan produk yang bermanfaat untuk diri dan makhluk yang lain.

Selain itu, untuk kesinambungan dan terus lestari, perlu ada pelbagaian dalam aktiviti kehidupan kita. Seperti daun hijau yang mengeluarkan oksigen di siang hari dan mengeluarkan karbon dioksid di malam hari, kita juga perlukan pelbagaian, agar tidak mudah jemu, ceria dan terus bersemangat!!

Dalam pelbagaian, kilang daun hijau juga mengajar kita tentang keutamaan. Walaupun daun hijau mengeluarkan kedua-dua oksigen dan karbon dioksid, namun oksigen paling banyak dikeluarkan. Begitu juga walaupun kilang daun hijau menggunakan kedua-dua gas oksigen dan karbon dioksid, oksigen paling sedikit digunakan. Semua ini adalah untuk keseimbangan kehidupan di muka bumi. Oleh itu dalam kehidupan kita untuk mewujudkan keseimbangan, perlu ada keutamaan dalam pelbagaian. Ada masa untuk bekerja, belajar dan belajar semula, riadah, bersantai, bersama keluarga dan rakan, kepedulian terhadap masyarakat, membantu orang yang memerlukan dan sebagainya.




Saturday 11 April 2009

Daun Hijau dan Kehidupan



Surah Al- Baqarah Ayat 22 bermaksud:
‘(Dialah) yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan Dialah yang menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia hasilkan dengan hujan itu buah-buahan sebagai rezeki untukmu. Karena itu janganlah kamu mengadakan sekutu bagi Allah, sedang kamu mengetahuinya’

Tidak seperti makhluk yang lain, tumbuh-tumbuhan membuat makanannya sendiri. Ia memperoleh tenaga secara terus dari cahaya matahari dan menggunakan tenaga tersebut untuk membuat makanannya sendiri. Makanan ini digunakan untuk pertumbuhan akar, daun dan bunga yang baru atau disimpan untuk kegunaan di masa hadapan.

Tahukah kita bahawa daun-daun hijau dari tumbuh-tumbuhan merupakan kilang pengeluar oksigen yang utama dan termurah di muka bumi ini? Malah, hampir semua makhluk yang hidup bergantung kepada oksigen yang dikeluarkan melalui proses fotosentisis daun-daun hijau ini.

Cahaya matahari, udara dan air diperlukan oleh tumbuhan hijau untuk melakukan proses fotosentisis.

Bagaimana daun hijau melakukan proses fotosentisis ini? Pada setiap daun hijau terdapat klorofil yang berwarna hijau. Klorofil ini mengandungi organisma fototrof. Organisma fototrof ini memerangkap dan menyerap cahaya, untuk digunakan dalam proses fotosentisis. Setiap satu milimeter persegi pada sehelai daun hijau mengandungi setengah juta organisma fototrof. Lubang-lubang halus pada daun iaitu stomata pula menyerap karbon dioksid. Pada masa yang sama, akar tumbuhan menyerap air dan mengangkut air tersebut ke daun.

Penjelasan lanjut proses fotosentisis sila klik video di bawah :





Melalui proses fotosentisis daun hijau mengambil karbon dioksid yang dikeluarkan oleh kebanyakan makhluk hidup yang lain, memprosesnya dan mengeluarkan oksigen yang amat diperlukan oleh makhluk yang hidup. Ia mewujudkan keseimbangan antara gas-gas oksigen dan karbon dioksid di muka bumi.

Satu lagi produk dari proses fotosentisis ini ialah gula yang digunakan oleh tumbuhan tersebut sebagai makanannya. Oleh itu tumbuhan hijau juga dirujuk sebagai asas rantaian makanan. Melalui tumbuhan hijau, tenaga matahari disalurkan kepada manusia dan binatang melalui makanan yang dimakan.

Proses fotosentisis boleh juga dianggap sebagai kilang kitar semula yang terawal di muka bumi ini. Ia mengambil bahan buangan makhluk iaitu karbon dioksid, lalu dengan menggunakan tenaga dari cahaya matahari dan air, diproses dan hasilnya ialah oksigen dan gula. Oksigen memberi manfaat kepada makhluk lain dan gula pula merupakan makanan kepada tumbuhan.

Perlu juga diingati, apabila tiada cahaya matahari, daun hijau sebaliknya akan menyerap oksigen dan menghasilkan karbon dioksid. Dalam keadaan biasa, proses ini berlaku di waktu malam. Inilah kepelbagaian pengeluaran kilang 'daun hijau'; mengeluarkan oksigen di siang hari dan mengeluarkan karbon dioksid di malam hari. Namun daun hijau dikatakan mengambil sedikit sahaja oksigen berbanding dengan oksigen yang dihasilkan. Daun hijau juga mengeluarkan sedikit sahaja karbon dioksid, berbanding dengan karbon dioksid yang diserapnya.



Oleh itu untuk memperoleh oksigen yang banyak lagi murah perlu ada banyak tumbuhan hijau di persekitaran kita. Kita tidak perlu pergi ke hutan belantara untuk memperoleh oksigen yang banyak. Kita juga tidak perlu pergi ke pulau yang tiada penghuni untuk menikmati oksigen. Tumbuhan hijau boleh hidup di mana-mana. Kita boleh dengan mudah menanam tumbuh-tumbuhan yang mengandungi daun hijau dan letakkannya di tempat yang mempunyai cukup cahaya. Tumbuhan hijau boleh ditanam di atas tanah, di dalam pasu atau digantung, asalkan wujud medium yang cukup untuknya tumbuh dan membesar. Dengan cara itu kita boleh banyakkan tumbuhan hijau sama ada di rumah atau di tempat kerja.


Jika ditanam di halaman rumah yang ada banyak cahaya matahari, kita boleh pilih tumbuhan yang berbunga untuk menyerikan laman. Atau untuk menambah harum, kita boleh pilih tumbuhan yang mengeluarkan bau wangi seperti pokok kenanga, melor atau orkid yang berbau harum seperti cataleya. Selain dari kerap berbunga, pokok-pokok ini boleh ditanam di dalam pasu.



Di dalam rumah atau di dalam pejabat, kita boleh pilih tumbuhan yang tidak memerlukan cahaya yang banyak. Yang penting ialah letakkan ia di tepi tingkap atau di tempat yang dimasuki cahaya matahari, kerana tumbuhan perlukan matahari untuk proses fotosentisis.



Tidak perlu bimbang jika kita selalu berpergian. Kita boleh gunakan jeli sebagai ganti kepada tanah. Kelebihan jeli ialah ia boleh menampong air. Oleh itu pokok yang ditanam tidak perlu disiram untuk beberapa lama.