Saturday 2 May 2009

Denggi Oh Denggi...


Petang Ahad lalu anakku yang bongsu tiba-tiba demam. Pada mulanya tidak begitu panas. Aku hanya memberikannya paracetamol, Namun pada petang Isnin itu kelihatan ruam-ruam merah pada badannya dan demamnya tidak juga surut. Aku bergegas membawanya ke klinik panel ku. Doktor menjelaskan kerisauannya melihatkan ruam merah yang ada pada badannya dan bintik-bintik merah pada lelangitnya. Tanda-tanda ini macam denggi. Doktor juga menjelaskan perbezaan denggi dengan campak dan ruam biasa akibat alergi. Beliau menasihatkan agar anakku segera dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Kira-kira 2 bulan yang lalu anak bongsu itu juga pernah dimasukkan ke hospital kerana demam denggi. Pada masa itu aku membawanya ke hospital swasta, dan terus dimasukkan ke wad dan dimasukkan air. Ujian pertama tiada menunjukkan demam dengi. Tetapi ujian seterusnya barulah menunjukkan dia mengidap dengi. Palet darahnya tidaklah rendah sangat. Dan beliau berada di sana kira-kira 8 hari lamanya. Yang tidak seronoknya ialah di hospital swasta itu pun banyak nyamuk. Di dalam wad pun dia bercampur dengan pesakit lain dan tiada kelambu yang diberikan….

Kali ni aku nak membawa anakku ke hospital awam pula. Aku terus ke wad kecemasan kerana pada masa itu jam menunjukkan pukul 8.35 malam. Aku diminta untuk pergi ke makmal untuk ujian darah. Sampai di ’makmal’ atau sebenarnya tempat ujian darah, kelihatan ramai juga pesakit yang sedang menunggu untuk mendapatkan rawatan. Aku hanya perlu mengemukakan kad pengenalan ku dan menunjukkan surat yang dibawa dari klinik tadi. Dan kami menunggu hampir 30 minit sebelum mendapatkan rawatan.

Di bilik rawatan doktor memeriksa keadaan anakku dan terus mengarahkan agar darah diambil. Kami menunggu 30 minit lagi untuk mengetahui keputusan. Di luar bilik rawatan, anakku sudah terlena tidur sebelum doktor tadi memanggil kami kembali. Alhamdulillah, ujian darah tidak menunjukkan denggi. Apabila ditanya tentang ruam yang ada, beliau menerangkan ia mungkin disebabkan alahan. Apabila aku jelaskan bahawa anakku tidak makan apa-apa yang dia mungkin alahan, apatah lagi kerana dia demam... doktor itu terus meminta aku membawa anakku ke hospital semula jika keadaannya tidak berubah dalam 2 atau 3 hari lagi. Anakku diberi ubat paracetamol, ubat allergi, anti biotik dan ubat batuk.

Sebenarnya aku masih tidak berpuas hati dengan penerangan doktor tadi. Sampai di rumah, setelah memberikan anakku ubat, aku mengelapnya dengan air. Suhu badannya begitu panas sepanjang malam. Aku juga tidak tidur kerana hendak memastikan dia minum ubat setiap 6 jam atau 8 jam sekali, mengelapkannya dengan air dan memberikannya minum. Jika dia terlalu lemah untuk bangun, aku suapkan air ke mulutnya melalui picagari. Dia juga mula mengigau...

Esoknya aku mengambil cuti untuk memastikan anakku makan ubat menurut masa, meminum air yang banyak dan mengelapnya dengan air agar badannya tidak terlalu panas. Aku juga menggunakan masa yang ada untuk membaca ayat al-Qur’an di samping anankku itu. Alhamdulillah pada hari yang ketiga, demamnya mula surat dan ruam di badannya juga mula hilang....dan hari yang ke lima dia sudah kembali ke sekolah.